Nisa' Dun AIr Putih
Monday, September 11, 2006
HADIS PALSU TENTANG KELEBIHAN SEMBAHYANG TARAWIH
Tidak lama lagi kita akan menyambut Ramadan. Bagi kita umat Islam, inilah bulan yang kita tunggu-tunggu setiap tahun. Berkat dan bening bulan Ramadan bagaikan menggamit rasa rindu, meskipun kita tahu, kita perlu menempuhnya dengan rasa lapar dan dahaga.
Bagi yang memahami besarnya pahala menyampaikan ilmu, aktiviti mengedarkan risalah dan menganjurkan ceramah diadakan sempena kedatangan Ramadan. Menyampaikan ilmu menjanjikan ganjaran besar kepada sesiapa yang mengerjakannya. Cuma, apa yang hendak diingatkan di sini, berhati-hati semasa menyampaikan hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. mengenai sembahyang terawih pada bulan yang mulia ini, supaya kita tidak terjebak dalam menyebarkan hadis palsu.
Kita tentu biasa mendengar hadis yang masyhur ini, yang tersebar luas dalam masyarakat iaitu:
Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah saw telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:
• Malam Pertama: Keluar dosa-dosa mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
• Malam Keempat: mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
• Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma’mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawikh pada malam ini.
• Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
• Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih seperti mana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
• Malam Kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad saw.
• Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke tiga puluh….
Kita biasa memetik ayat al-Quran, dan biasanya kita sertakan nama surah dan nombor ayatnya. Ilmu hadis pun ada disiplin yang seumpama itu. Apabila kita mengatakan ini sabda Nabi Muhammad, kita nyatakan dari manakah sumbernya. Tidak boleh kita katakan, saya tulis atau saya kata sebab saya 'pernah dengar orang kata begitu.' Ia bukan kata-kata orang biasa. Ia berkait dengan kata-kata utusan Allah!
Semua disiplin ini disusun dengan tujuan hendak memelihara keaslian hadis. Ia juga dapat memberi maklumat kepada pendengar dan pembaca. Sesiapa sahaja boleh mendakwa 'sekian sekian', kemudian mengatakan, 'ini sabda Nabi Muhammad,' dengan tujuan jahat terhadap agama ISLAM. Jika kita tidak biasa dengan disiplin ilmu hadis, kita mungkin akan menerima sahaja, padahal yang didakwa itu bukan pun hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi Muhammad memberi amaran kepada orang-orang yang mengada-adakan kata-kata baginda, padahal kata-kata itu tidak pernah pun diucapkan baginda. Ancaman yang diberi itu direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Nabi Muhammad bersabda:
Pakar-pakar hadis iaitu ulama hadis menyatakan, riwayat tentang kelebihan sembahyang tarawih yang disebut di atas tidak diketahui dari mana asal usulnya. Tidak dijumpai dalam kitab-kitab hadis yang utama. Bahkan dalam kitab himpunan hadis-hadis palsu juga tidak dicatat hadis ini. Ini bermakna, hadis ini baru direka, sebab itu ulama-ulama yang berusaha mengumpulkan hadis-hadis palsu sebagai peringatan kepada umat Islam tidak mengetahui kewujudan hadis ini.
Bulan Ramadan bulan berkat dan sembahyang Tarawih itu banyak pahalanya, banyak kelebihannya. Tetapi kita tidak boleh menggalakkan orang supaya melakukannya dengan memberikan janji-janji palsu. Biarlah janji itu kita ambil daripada al-Quran dan hadis yang berautoriti. Mengapa?
Mari kita lihat antara kesannya.
Pertama : Umat Islam yakin dan mengharapkan kepada sesuatu yang tidak ada asasnya.
Kedua : Mencemarkan kesucian hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Ketiga : Prioriti atau keutamaan yang menjadi amalan kita tidak kena pada tempatnya. Antaranya, kita mungkin akan mengutamakan sembahyang tarawih berjamaah di masjid dan surau tetapi tidak memberatkan amalan sembahyang Subuh berjemaah. Padahal, tarawih itu sunat dan Subuh itu wajib. Mungkin ada juga yang pilih malam-malam tertentu sahaja untuk mengerjakan sembahyang tarawih, bergantung kepada 'tawaran' ganjaran yang ada pada malam-malam tersebut!
Keempat : Salah anggap terhadap para nabi dan sahabat. Dalam riwayat yang didakwa sebagai hadis itu, kelebihan bagi orang yang mengerjakan sembahyang tarawih menyamai ataupun mengatasi kelebihan para sahabat yang berjuang bersama Nabi Muhammad, bahkan menyamai ataupun mengatasi kedudukan nabi-nabi lain.
Sebenarnya sudah banyak artikel ditulis bagi memberi info kepada masyarakat bahawa hadis itu palsu. Alhamdulillah, semakin ramai orang yang berhati-hati dalam hal ini.
Cukuplah apabila kita yakin kepada hadis-hadis yang terbukti datang daripada Nabi Muhammad s.a.w. Baginda mengerjakan sembahyang tarawih pada bulan Ramadan, malah menggandakan amalan pada 10 malam yang terakhir. Baginda juga mengingatkan kita dalam hadis yang bermaksud, " Sesiapa menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampunkan dosa-dosanya yang lalu."
Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari.
Selamat datang wahai bulan Ramadan. Rupa-rupanya pada setiap malam ada malaikat yang menyeru manusia supaya kerjakan yang baik dan tinggalkan yang tidak elok, sebagaimana yang diceritakan dalam hadis berikut:
ِAbu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda, "Apabila bermula malam pertama bulan Ramadan, syaitan-syaitan diikat dan jin-jin dirantai. Pintu-pintu neraka ditutup, tidak dibuka satu pun. Pintu-pintu syurga pula dibuka, tidak ditutup satu pun.
Dan malaikat pula menyeru, 'Wahai orang yang mencari dan hendakkan kebaikan, kerjakanlah kebaikan itu. Wahai orang yang cenderung hendak melakukan perkara jahat, hentikan dan bertaubatlah. Allah membebaskan ramai orang-orang yang telah dijanjikan masuk neraka daripada masuk ke dalamnya.'
Seruan itu ada pada setiap malam."
Direkodkan oleh Ibnu Majah dan Tirmizi.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home