Nisa' Dun AIr Putih
Saturday, September 02, 2006
DEGUP JANTUNG TANAH MERDEKA
Duhai Tuhan,
melaut syukur
merimbun zikir
Engkau sudi menghantarkan cahayaMu
pada sekujur
semenanjung tubuhku.
Safar 1377/Ogos 1957
Setelah bertahun aku basah
dengan darah pejuang hakikat
penjajah yang entah ke berapa
berjanji dengan senyum bererti
lalu setelah tangan dijabat
tokoh dijulang
penjajah pulang.
Sejak itu wargaku
bebas mengurus diri ini
dengan akal budi sendiri.
Syaaban 1427H/Ogos 2006
Mereka seperti biasa
bersorak gembira
menyambut tarikh aku merdeka
dengan berbaris tegak
berpakaian segak
langitku disimbah cahaya aneka warna
lantaiku ditabur mekar wangi bunga
laungan pun berdegar
bunga api kembang bersinar
benderaku berkibar
hatiku gusar…
tiba-tiba
di awal dinihari
aku segar kembali
rupanya, ada yang tidak lupa
menganyam dan mengalun doa
untuk kesejahteraanku
malah tulus mereka panjatkan
kepadaMu.
00000/00000
Duhai Tuhan,
Bintangku jatuh
Bulanku pecah
Matahariku merekah
Gunungku meletus
Perutku muntah
Langitku terbelah
Wargaku meraung
gerun dan pilu
tidak tahu
ke mana lagi hendak dituju.
Aku akur
Sekarang sudah tiba waktu
Tubuhku dilipat dan digulung
Kerana aku hanyalah sekeping tanah
milikMu
yang Maha Agung.
Hak Cipta Terpelihara
0 Comments:
Post a Comment
<< Home