Nisa' Dun AIr Putih

Saturday, September 02, 2006

PRINSIP HANYA DAPAT DIBANGUNKAN DENGAN PENGORBANAN

Tahukah saudari, Nabi Muhammad s.a.w. yang kita sayangi itu pernah pecah tumitnya, patah giginya, luka kepalanya, malahan dibunuh orang2 yang dikasihinya?

Dan ingatkah saudari, utusan Allah yang mulia itu pernah dihalau dan diboikot di lereng bukit, dicaci dengan kata-kata kasar dan sinis, dan dituduh sebagai orang gila dan ahli sihir?

Tahukah saudari, Khalifah Umar al-Khattab yang berjasa itu disembelih di mihrab masjid, malah tubuhnya diradak lembing yang tidak mengenal erti belas kasih?

Dan Khalifah Uthman bin Affan yang halus budi itu pula, mengalir darahnya di atas mushaf yang agung, ketika umurnya sudah menjangkau 80 tahun?

Ingatkah saudari, Khalifah Ali bin Abi Talib pula dibunuh oleh puak Khawarij, sehingga ke janggut darahnya menitis? Bagaimana pula dengan Ibnu Taymiyyah yang dipenjara, yang diperas darahnya, malah dituduh sebagai pengkhianat agama?

(Masih terkenangkah saudari semua kepada Aisyah dan Asma' yang bertungkus lumus menyediakan bekalan, khusus untuk ayahanda mereka Abu Bakar dan Nabi Muhammad, sejurus sebelum mereka berangkat hijrah ke Madinah?)

Bukankah semua yang berlaku itu, kepada orang-orang yang mulia bakal penghuni syurga?

Lalu, bagaimana mungkin idea dan prinsip yang baik dapat berkembang tanpa pendirian yang tegas, dan pengorbanan yang tuntas. Bagaimana mungkin hati boleh tunduk kecut, kalau hidup demi mengenyangkan perut yang tidak pernah kenal erti penuh!

Sekarang saudari cubalah cari, di manakah orang-orang yang memerangi para utusan Allah, adakah mereka masih dikenang-kenang? Di mana pula orang yang pernah menindas Nabi Muhammad, para sahabatnya, dan para pengikut mereka yang seterusnya?

Jejak mereka sudah hilang ditelan zaman.

Tetapi bagi orang yang mempunyai prinsip agung, misi mereka tersebar luas. Kerana pendirian mereka seutuh gunung seteguh karang. Mereka umpama hinggap sebentar sahaja pada ranting-ranting susah dan sedih, tetapi akhirnya terbang bebas mulia dalam kemenangan dan reda Ilahi.

( ولله العزة ولرسوله وللمؤمنين ولكن المنافقين لا يعلمون )


Adaptasi
drpd artikel asal oleh Dr 'Aidh al-Qarni dalam webnya http://www.gooh.net/algarne. Beliau adalah pengarang buku La Tahzan (Jangan Bersedih!)
posted by Admin dNisa' at 4:28 PM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home