Nisa' Dun AIr Putih

Saturday, February 17, 2007

SABAR SEPANJANG JALAN

Perjalanan yang panjang, lambatnya hasil diperolehi, kejayaan tertunda, kesulitan dalam bergaul dengan pelbagai lapisan manusia, berbeza perasaan dan kecenderungan....tidak boleh membuat kita menjadi malas, bersikap leka, mengundurkan diri, atau berhenti di tengah jalan. Sebab, sebenarnya, orang yang ikhlas melakukan sesuatu bukan sekadar untuk sebuah kejayaan ataupun kemenangan, tetapi yang paling utama tujuannya adalah untuk keredhaan Allah dan menuruti perintahNya.Nabi Nuh a.s. hidup di tengah kaumnya selama 950 tahun. Beliau berdakwah dan menyampaikan, namun hanya sedikit yang mahu beriman. Padahal pelbagai cara dakwah sudah dicuba, waktu yang diperuntukkan sekian lama, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah melalui perkataan beliau: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan terlalu menyombongkan diri." (Nuh: 5-7) Sekali pun harus menghabiskan masa selama 950 tahun, beliau tetap menyeru kaumnya dan akhirnya ada 40 orang yang berhimpun bersama beliau. Sedangkan kaumnya yang lain berpaling dari beliau, sekali pun beliau sangat berharap mereka mahu beriman. Al-Quran telah mengisahkan kepada kita individu-individu Mu'min di dalam surah al-Buruj. Mereka rela mengorbankan nyawa fi sabilillah dan mereka tidak mengatakan, "Kematian ini dapat memberi apa-apa manfaat terhadap dakwah kita!" Mereka tidak berkata seperti itu, kerana mereka mempunyai hati yang teguh. Kejayaan dakwah ada di tangan Allah. Siapa tahu darah mereka itu merupakan santapan lazat bagi pohon iman generasi berikutnya? Perkara yang menjadi prinsip bagi orang yang mukhlis ialah ALLAH semata-mata. Dia cekal dalam hal ini dan terus seperti itu. Hasil dan buah di dunia diserahkan kepada Allah, kerana Allah-lah yang menyediakan penyebabnya dan membataskan waktunya. Dia hanya sekadar berusaha. Jika berjaya, maka segala puji hanya bagi Allah, dan jika gagal, maka segala daya kekuatan itu hanya milik Allah. Sesungguhnya di akhirat Allah tidak akan bertanya kepada manusia, "Mengapa kamu tidak menang?" Tetapi Dia akan bertanya, "Mengapa kamu tidak berusaha?"Allah tidak bertanya, "Mengapa kamu tidak berjaya?" Tetapi Dia bertanya, "Mengapa kamu tidak melakukannya?"Mari kita bersabar bersama, sepanjang jalan.

Dipetik dengan sedikit pindaan daripada Artikel "Bukti-Bukti Ikhlas" oleh Dr Yusuf al-Qardawi. Bukti ke-9 : Sabar Sepanjang Jalan.
posted by Anonymous at 11:07 AM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home