Nisa' Dun AIr Putih
Sunday, January 28, 2007
Bolehkah kita hanya percaya kepada Allah, tetapi kita tidak mengerjakan suruhanNya?
Pertama : Kita Dicipta Supaya Beribadat Kepada Allah
Sebenarnya, Allah jadikan kita supaya kita beribadat kepadaNya. Apabila kita benar-benar yakin kepada Allah, kita berasa selalu dilihat dan dipantau oleh Allah. Kita berasa gembira melakukan suruhan Allah dan berasa gerun melakukan larangan Allah.
Oleh sebab kita tidak dapat menyembunyikan diri daripada Allah, dalam keadaan apa sekalipun, kita cuba sedaya upaya agar kita sentiasa dapat mengerjakan suruhanNya. Oleh sebab kita kasih kepada Allah yang menjadikan kita dan memberi rezeki kepada kita, kita berasa gembira apabila dapat mentaati perintah Allah. Sebaliknya, kita berasa resah gelisah apabila terlanggar perintah Allah.
Kedua : Suruhan Dan Larangan Tanda Kasih Allah Kepada HambaNya
Sekarang mari kita ambil beberapa contoh suruhan dan larangan Allah dalam al-Quran dan juga hadis Nabi Muhammad.
Kadang-kadang kita rasakan suruhan Allah itu sangat berat hendak dikerjakan. Contohnya solat Subuh. Akal kita menyatakan, alangkah eloknya sekiranya solat Subuh itu diwajibkan selepas terbit matahari. Jadi, kita tidak perlu bersusah payah bangun pagi-pagi lagi setiap hari. Padahal, dari segi ilmu kesihatan, ilmu pengurusan dan ilmu psikologi, bangun awal pagi banyak manfaatnya. Allah suruh kita bangun awal pagi ada sebab dan rahsianya, meskipun kita sendiri tahu ataupun tidak tentang sebab dan rahsia itu.
Adakalanya juga kita merasakan perkara yang Allah larang itu adalah perkara yang sangat kita sukai. Akal kita menyatakan, apa salahnya membuka aurat, sebab kita dapat berkongsi kecantikan kita dengan orang lain. Padahal membuka aurat itu sudah terbukti mendatangkan bahaya kepada pelakunya sendiri.
Jikalau benar kita yakin Allah menetapkan suruhan dan larangan sebab Dia sayang kepada kita, mengapa pula kita tidak mahu mengerjakan suruhan dan meninggalkan laranganNya itu?
Setiap suruhan Allah baik dan sesuai sifat asal manusia. Allah menyuruh kita hormat kepada ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua.
Ketiga : Seperti Lampu Tanpa Kuasa Letrik*
Orang yang hanya percaya kepada Allah, tetapi tidak mahu mengerjakan suruhannya, samalah seperti lampu yang tidak menyala kerana tidak ada letrik. Tujuan lampu dipasang ialah supaya tuan rumah boleh mendapatkan cahaya apabila tiba masa diperlukan. Namun begitu, lampu itu hanya berguna apabila ada kuasa elektrik. Tanpa elektrik, lampu itu hilang fungsinya yang asal, iaitu menerangi ruang. Tanpa elektrik, lampu itu tergantung sahaja pada siling. Ia tidak dapat memberikan manfaat kepada tuannya.
Begitulah keadaannya jika percaya kepada Allah, tetapi tidak beribadat dan tidak patuh kepada suruhannya. Matlamat beriman kepada Allah ialah mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Justeru, apabila kita mengaku beriman, tetapi tidak mengerjakan suruhan Allah, itu maknanya iman kita sangat nipis dan kurang. Iman dan amal tidak boleh dipisahkan, sebab ia saling berkait antara satu dengan yang lain.
Sebab itulah kita dapati Allah menyatakan dalam al-Quran ayat 51-52 surah al-Nur, apabila orang-orang beriman diseru supaya merujuk kepada Allah dan Nabi Muhammad dalam urusan mereka, mereka berkata, "Kami dengar dan kami patuh." Allah memuji mereka dengan mengatakan merekalah orang-orang yang berjaya. Allah juga menyatakan, sesiapa yang taat kepada Allah dan Nabi Muhammad, takut kepada Allah dan berhati-hati supaya tidak melanggar perintahNya, merekalah orang-orang yang menang.
Kita kerjakan suruhan Allah sebab kita yakin Allah sayangkan kita. Di sebalik suruhan dan larangan Allah itu ada rahsia dan sebab yang tersembunyi. Kita juga yakin, apabila kita patuh kepada Allah, Allah sediakan balasan baik yang tidak dapat kita bayangkan dengan minda kita.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home